Syed Sheikh Al-Hadi, Sang Reformis Melayu Islam


SYED Sheikh Al-Hadi lahir di Melaka 1867 dan meninggal dunia Februari 1934. Syed Syeikh bin Syed Ahmad Al-Hadi telah dihantar ke Riau ketika berusia empat belas tahun untuk mengaji agama dan bahasa Arab dengan seorang pengarang dan juga agamawan yaitu Raja Ali Haji. Pada penghujung abad ke-19 Syed Sheikh telah pergi ke Makkah dan juga Beirut serta Kaherah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama. Ia merupakan anak murid kepada reformis terkenal di Kaherah iaitu Sheikh Muhammad Abduh.

Sekembalinya dari Mesir, Syed Sheikh Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada 1907 di Singapura. Dua tahun kemudian menjadi pendakwa di mahkamah Syariah Johor Baharu sehingga 1915. Dia meninggalkan kerjanya tersebut karena minatnya dalam bidang perguruan, kewartawanan dan penulisan. Dia nampak hanya melalui penulisan dia boleh mengembangkan fikrahnya dan menaikkan semangat Islam di kalangan orang Melayu. Dia kemudiannya mendirikan dua sekolah lagi yakni Madrasah Al-Hadi (1915) di Melaka dan Madrasah Al-Mashur (1926) di Pulau Pinang. Beliau menjadi Mudir kepada dua madrasah tersebut.

Rekan seperjuangannya yang turut mempunyai aspirasi yang sama adalah Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari, Sheikh Mohammd bin Salim Al-Kalali dan Haji Abbas bin Mohd. Tahar bergabung tenang untuk mengembangkan fikrah Islam dengan menerbitkan majalah Al-Imam (1906). Di Pulau Pinang di samping menulis, Syed Sheikh menerbitkan majalah Al-Ikhwan (1927) dan Akhbar Saudara (1928). Dia menghasilkan Hikayat Setia Asyik kepada Maksyuknya atau terkenal sebagai Hikayat Faridah Hanum (1925-1926).

Julukan yang sesuai bagi Syed Sheikh Al-Hadi ialah beliau merupakan seorang ‘reformis’, ‘pemikir’, dan ‘novelis dinamis’. Syed Sheikh Al-Hadi adalah sinonim dengan Hikayat Faridah Hanum karena itulah ukuran komitmennya dalam bidang sastra. Hikayat adalah novel pertama yang diperkenalkan kepada alam sastra Melayu. Dia juga melahirkan Siri Cerita Rokamlbul (karya adaptasi), Tafsir Juz Amma (1927), Taman Cinta Berahi (1928), Tafsir Al-Fatihah (1928), Hikayat Cermin Kehidupan (1929), Hikayat Puteri Nurul Ain (1929) dan Kita Agama Islam dan Akal (1931).

Peranan yang dimainkan Syed Sheikh Al-Hadi dalam dunia kesusastraan Melayu bukan hanya setakat melahirkan Hikayat Faridah Hanum, bahkan dia turut mencernakan pemikiran dan menyadarkan bangsa Melayu kepada isu ekonomi dan pejuangan anak watan. Sebagai reformis dia mengetengahkan kepahaman Islam yang diwara-warakan oleh Sheikh Muhammad Abduh. Dia menggunakan majalah dan akhbar yang dipimpinnya untuk menyebarkan fikrah gerakan Islah. Dalam novelnya Syed Sheikh Al-Hadi menyeru agar orang Melayu bersedia untuk menghadapi ajakan perubahan kepada Islam yang mulia sifatnya. Karena kelantangannya dalam mengutarakan ide pembaharuan, tulisannya tidak disenangi oleh golongan ‘establishment’ terutamanya Jabatan Agama negeri-negeri di Tanah Melayu. Jawaban kepada kritikan terhadapnya ialah ‘’Saya menulis apa yang saya kira sebagai sesuatu yang benar’’ (Al-Ikhwan , 16 November 1929). Segala yang diluahkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi adalah kesinambungan daripada fikrah reformis atau peng-islah-an oleh Sheikh Muhammad Abduh di bumi Mesir dan banyak tulisannya dirujuk daripada reformis Muslim yang lain dan dalam bidang sastra.

Dia berguru dengan Raja Ali Haji Kelana di Pulau Penyengat Riau yang terkenal sebagai pusat sastra Melayu pada zamannya. Novel-novel lainnya antara lain Faridah Hanum (Cetakan Asal Hikayat Setia Asyik Kepada Maksyuknya atau Hikayat Faridah Hanum (1925-1926), cetakan Pustaka Antara (1964). Hikayat Taman Cinta Berahi Mahir Affandi dengan Iqbal Hanum, Penang: Jelutong Press, 1928 dan Hikayat Pembelaan Dalam Rahsia atau Kasih Saudara Kepada Saudaranya, Penang, Jelutong Press, 1929 serta Hikayat Nurul Ain, Penang: Jelutong Press, 1929.(fed)

Sumber: Riau Pos, Minggu, 10 Juni 2012